
Johor Bahru | 21 Januari 2026 – Majlis Apresiasi Kerjasama Strategik MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dianjurkan sebagai penghargaan atas tindakan pantas serta kerjasama berkesan PDRM Johor dalam menahan suspek kes pecah masuk melibatkan 13 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negeri Johor.
Majlis yang berlangsung di Hotel Grand Paragon ini menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian yang terlibat secara langsung dalam operasi penahanan suspek. Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dan PDRM dalam memastikan keselamatan fasiliti NADI serta kesinambungan perkhidmatan kepada komuniti setempat.
Program ini turut merangkumi Sesi Taklimat Kesedaran Keselamatan NADI yang melibatkan petugas NADI dari seluruh Johor dab wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT), bertujuan memperkukuh tahap kesiapsiagaan, pengurusan risiko dan keselamatan komuniti.
Kerjasama strategik ini akan terus diperkasa bagi menjamin kesejahteraan masyarakat serta melindungi ekosistem NADI di peringkat akar umbi.